Friday, July 4, 2008

MAKLUMAT UTAMA & ABSTRAK KERTAS KERJA

SEMINAR KEBANGSAAN BAHASA VERBAL DAN BUKAN VERBAL DARI PERSPEKTIF BAHASA, TERJEMAHAN DAN KOMUNIKASI 2


Hari: Khamis
Tarikh: 23 Oktober 2008
Tempat: Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Tema: KEBERKESANAN INTERAKSI DAN MESEJ
Subtema: Gender
Profesionalisme
Linguistik Teras dan Terapan
Terjemahan dan Interpretasi
Bahasa Isyarat
Parabahasa

Pengantar: Bahasa Melayu

Penyertaan: Terhad kepada 100 peserta

Yuran
Pembentang kertas kerja: RM 100.00
Peserta biasa : RM 150.00
Organisasi (3 peserta biasa) : RM 400.00
Pelajar pembentang kertas kerja: RM 30.00
Pelajar tidak membentang kertas kerja: RM50.00

Tarikh-tarikh penting

Penerimaan Akhir Abstrak : 23 September 2008
Pemakluman Penerimaan Abstrak : 30 September 2008


Kertas kerja: Mestilah tidak pernah diterbitkan atau dibentangkan di mana-mana. Kertas kerja terpilih akan diterbitkan sebagai bab dalam buku.

Kandungan abstrak (250-500 perkataan):

Tujuan
Kaedah / Pendekatan /Teori
Batasan
Temuan / Isu Utama

Maklumat dalam abstrak dan kertas kerja:

Nama, afiliasi, dan emel
Subtema
Tajuk
Biodata pembentang (maksimum 50 perkataan)
Peralatan(LCD, OHP dll)

Alamat penghantaran abstrak dan kertas kerja (dalam bentuk .doc)

svbvppikusm@gmail.com, radiah@usm.my, jamylah@usm.my



Penginanapan: Diuruskan sendiri oleh peserta. Cadangan penginapan disediakan di bawah. Pengangkutan dari dan ke hotel berikut akan disediakan oleh penganjur.

Rumah Tetamu USM
Tel : 604-653 2030
Faks : 604-659 7124

Hotel Equatorial
Tel : 604-643 8111
Faks : 604-644 8000

Hotel Seri Malaysia,
Tel: 604-642 9452
Faks: 604 642 9451

Anggerik Lodging
Tel : 604-658 3760
Faks :

Hotel Vistana
Tel : 604-646 8000
Faks: 604-646 1400

B-Suite Bayan Point
Tel : 04-646 7777
Faks :


Untuk keterangan lanjut serta lengkap sila hubungi Urusetia Seminar:

04-653 3332/2703/2854/2116 atau
hasuria@usm.my (Hasuria Che Omar)
hasmidar@usm.my (Hasmidar Hassan)
mimi@cs.usm.my (Jumiya Ahmad)

blog:
http://svbvppikusm2008.blogspot.com/

Kertas Kerja Utama

Cetusan Minda Melayu: Yang Tersurat dan Tersirat

Nor Hashimah Jalaluddin (UKM)

Bahasa mencerminkan minda penuturnya. Pendapat ini tidak perlu disangkal lagi. Malah dalam masyarakat Melayu ungkapan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ membuktikan yang bahasa memang mampu menyerlahkan pemikiran masyarakatnya. Sejak akhir-akhir ini peranan bahasa Melayu seolah-olah tenggelam dek gelombang globalisasi. Keghairahan masyarakat hari ini mengagungkan bahasa Inggeris sedikit sebanyak telah menenggelamkan peranan dan kepentingan bahasa Melayu. Natijahnya, ramai penutur Melayu merasa pesimis dengan bahasa Melayu itu sendiri. Kertas ini akan menonjolkan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah yang sarat dengan pengajaran dan hikmah. Apa yang lebih menarik lagi ialah adanya unsur tersurat dan tersirat yang harus diketahui oleh penutur Melayu itu sendiri. Banyak aspek bahasa Melayu yang mempunyai unsur tersurat dan tersirat dengan falsafah yang tersendiri. Pepatah petitih Melayu seperti pantun, peribahasa, implikatur bukan sekadar mengandungi maksud tersurat malah tersirat yang berupa pancaran minda Melayu. Antaranya secara tersirat melahirkan seni berbahasa, bersantun dalam berhujah demi menjaga hati pendengar, unsur nasihat yang halus. Kesemuanya berkaitan dengan hati dan perasaan si pendengar. Hal ini turut juga tergambar dalam tatabahasa bahasa Melayu. Morfologi Melayu seperti kata ganda dan imbuhan boleh melahirkan pemikiran khusus tak khusus Melayu sehingga memperlihatkan kebijaksanaan si penutur mengolah kata-kata. Kesemua adunan bahasa tersurat dan tersirat akan lebih menyerlah kupasan menggunakan kerangka teori semantik dan pragmatik.

PERLAMBANGAN BUNYI DAN KERATABASA DALAM KOMUNIKASI VERBAL BAHASA MELAYU

Noriah Mohamed

Menurut Hinton et al. (1994: 1) “sound symbolism is the direct linkage between sound and meaning”. Jakobson & Waugh (87: 182) merujuk kepada fenomena yang sama sebagai “... an inmost, natural similarity association between sound and meaning (signans and signatum) ... ”. Dalam kata yang lebih mudah perlambangan bunyi memperlihatkan unsur ikonik kerana terdapat kesamaan antara bunyi dengan makna yang didokongnya. Hinton et al. (1994) selanjutnya membahagikan unsur perlambangan bunyi ini kepada empat, yakni perlambangan bunyi zahir atau jasmaniah, (corporeal), peniruan atau pengajukan (imitative), sinestetik (synesthetic) dan konvensional atau kelaziman (conventional). Keratabasa yang mendokong makna “penjelasan (penerangan) erti perkataan dengan berdasarkan tafsiran atau huraian tentang bunyi atau suku kata yang terdapat pada perkataan itu” (Kamus Dewan, 2005: 755) dalam bahasa Melayu boleh dianggap sebagai perlambangan bunyi yang bersifat sinestetik dan konvensional. Kertas kerja ini akan meninjau jenis dan contoh keratabasa, khususnya keratabasa sinestetik, lebih khusus lagi keratabasa [i] yang terdapat dalam bahasa Melayu. Contoh daripada bahasa lain juga akan digunakan dalam perbincangan ini.

ISU-ISU DALAM BAHASA MELAYU DAN POLARITI DALAM PENGGUNAANNYA

Mashudi Kader (USM)

Kertas kerja ini menyentuh dua perkara utama: isu-isu dalam bahasa Melayu dan polariti dalam penggunaannya. Tentang isu-isu bahasa Melayu, kertas kerja ini menyentuh polariti sebutan antara sebutan baku dan sebutan standard (piawai), isu pembentukan kata khususnya penggunaan ber- dan {meng-} sebagai penanda kata kerja transitif aktif, isu dan polariti dalam kelas kata, isu proses morfologi, isu dan polariti dalam struktur ayat dasar bahasa Melayu: empat bagi Tatabahasa Dewan dan pendapat lain, isu kedudukan subjek dalam bahasa Melayu, isu penggunaan kata depan oleh, isu kata pemeri ialah/adalah, isu penggunaan -kah dalam ayat tanya dan isu ayat-ayat kleft yang bermula dengan “Apa yang…”. Kertas kerja juga akan menjurus ke arah beberapa penyelesaian hal-hal yang dibincangkan.

Kertas Kerja Sesi Selari

Analisis Wacana Teks Visual

Aniswal Abdul Ghani (USM)

Pengguna bahasa mempunyai kepelbagaian alat untuk menurunkan maklumat dalam bentuk untuk dibaca. Teks adalah wacana visual yang sebenarnya juga mengekodkan maklumat bukan visual. Kertas ini menganalisis teks-teks terpilih dengan menggunakan kepelbagaian pendekatan analisis wacana. Pada tahap awal analisis tertumpu kepada cara maklumat dikodkan. Analisis juga dilakukan dari sudut penghasil maklumat dan sasaran maklumat. Pengkaji mendapati bahawa sasaran teks harus mempunyai kepelbagaian kemahiran berbahasa untuk memahami sesuatu teks itu dengan sepenuhnya. Pengajaran bahasa yang menyeluruh dapat menghasilkan pengguna bahasa yang berbahasa.

ASPEK MAKNA KOHESI LEKSIKAL DALAM SEBUAH ARTIKEL MOTIVASI

Budiman Radzi Abd.Wahab & Radiah Yusoff (Universiti Sains Malaysia)

Kertas ini membincangkan aspek makna yang terhasil daripada kohesi leksikal dalam sebuah artikel motivasi. Sumber data bagi penganalisisan ialah sebuah artikel motivasi berjudul ““Kepuasan Bekerja” yang ditulis oleh Dr.Tengku Asmadi bin Tengku Mohammad. Kohesi leksikal merupakan sejenis kohesi yang berfungsi untuk mempertaut makna dalam wacana supaya sesebuah wacana kelihatan tekstual. Ketika menjadikan sesebuah wacana tekstual, kohesi leksikal yang beroperasi telah menghasilkan beberapa makna. Empat makna telah didapati terhasil daripada proses ini adalah seperti berikut: i) makna tersurat, ii) makna tersirat, iii) makna bersama, dan iv) makna setempat. Penganalisisan makna dilakukan dengan mengaplikasi pemerolehan makna dalam ayat yang dibincangkan oleh Darwis Harahap (1994). Penentuan sesuatu kohesi sebagai kohesi leksikal adalah bersandarkan model kohesi yang disarankan oleh Halliday dan Hasan (1976).

Iklan Dalam Talian (IDT) Bahasa Melayu Nokia

Bukhari Shafie & Radiah Yusoff (USM)

Kertas ini bertujuan untuk (i) menganalisis pematuhan dan pelanggaran maksim perbualan dalam iklan dalam talian (IDT) telefon bimbit Nokia yang dimuat turun daripada laman web Berita Harian Online dan (ii) menghuraikan perkaitan antara unsur verbal dan bukan verbal dalam menyampaikan maksud. Teori Prinsip Kerjasama Grice (1989) digunakan untuk mengenal pasti dan menghuraikan pematuhan dan pelanggaran maksim dalam teks IDT. Hasil analisis mendapati bahawa pematuhan dan pelanggaran maksim yang berlaku adalah merupakan antara srategi pengiklan untuk menarik perhatian pengguna terhadap iklan yang dipaparkan. Selain dari itu, analisis juga menunjukkan bahawa unsur bukan verbal yang digunakan juga berperanan dalam menjelaskan maksud yang dibawa oleh unsur verbal (teks).

METAFORA DALAM NOVEL KONSERTO TERAKHIR: SATU ANALISIS PRAGMATIK

Eileen Sim Siew Wah & Hasmidar bt Hassan (USM)

Kajian Lakoff dan Johnson (1980) memberikan impak yang besar terhadap kajian semantik kognitif khususnya metafora. Lakoff dan Johnson (1980) menegaskan bahawa metafora wujud dalam kehidupan seharian manusia melalui bahasa, pemikiran dan tindakan manusia. Jelas mereka, penggunaan metafora didasari oleh skema imej. Namun, kajian Lakoff dan Johnson (1980) terhenti setakat itu dan ruang lingkup semantik kognitif yang digagaskan oleh Lakoff dan Johnson (1980) tidak mampu menjelaskan alasan ataupun sebab metafora digunakan oleh pengguna bahasa Melayu. Oleh sebab bahasa tidak dituturkan sewenang-wenangnya oleh manusia, maka penggunaan metafora dalam komunikasi seharian tentunya bersebab dan untuk mencapai tujuan-tujuan tertentu. Oleh itu, pengkaji mengambil satu langkah ke hadapan untuk mengkaji penggunaan metafora dari sudut pengguna bahasa Melayu berlandaskan kerangka Teori Relevans yang digagaskan oleh Sperber dan Wilson (1995). Berdasarkan prinsip relevans kognitif dan prinsip relevans komunikatif, iaitu mekanisme kognitif manusia cenderung memilih secara spontan rangsangan yang relevans sahaja, mekanisme penerimaan pula cenderung mengaktifkan secara spontan andaian yang relevans sahaja dan mekanisme inferens cenderung memproses secara spontan rangsangan tersebut dengan cara yang paling produktif sahaja maka penggunaan metafora oleh penutur Melayu dapat dijelaskan dengan lebih berpada.

Tipologi Teks Sebagai Satu Kriteria Penilaian Terjemahan

Ezaleena Mohd Khalid (USM)

Tipologi teks merupakan satu ciri pendekatan fungsional yang disarankan oleh Reiss (2000), dan dapat digunakan untuk mengenal pasti jenis teks serta sifat bahasa yang terdapat dalam sesuatu teks. Berasaskan pandangan yang disyorkan oleh Bϋhler (1934), Reiss menggunakan pendekatan tipologi secara menamakan empat jenis teks untuk menganalisis teks sumber dalam proses penterjemahan. Tipologi teks yang diutarakan oleh Reiss memberi tumpuan pada [1] teks informatif, iaitu kandungan teks adalah fokus yang utama, [2] teks ekspresif, iaitu tumpuan pada teks yang lebih bersifat kesusasteraan, [3] teks operatif, iaitu teks yang memujuk atau mengajak pembacanya untuk memberikan respons terhadap teks, dan [4] teks audiomedial, iaitu tumpuannya pada teks yang berbentuk visual dan audio. Menurut Reiss, tipologi teks akan membantu penterjemah menentukan kesamaan antara teks sumber dengan teks sasaran, seterusnya mengekalkan tujuan sesuatu terjemahan itu dihasilkan. Model yang disarankan oleh Reiss ini secara jelasnya menggambarkan bahawa fungsi dan jenis teks sumber perlu ditentukan terlebih dahulu sebelum sesuatu teks itu diterjemahkan dan hasil terjemahan itu kemudiannya boleh dinilai.

Kehilangan Makna dalam Terjemahan Nama Perniagaan Cina

Goh Sang Seong (USM)

Makalah ini melaporkan dapatan kajian yang meneliti fenomena kehilangan makna dalam terjemahan nama perniagaan Cina. Sebanyak 793 nama perniagaan Cina diteliti untuk mendapatkan jenis makna yang terkandung pada nama perniagaan Cina. Makna terjemahan dalam bahasa sasaran kemudiannya dibandingkan dengan makna asalnya dalam bahasa sumber. Konsep penterjemahan tentang kehilangan makna yang diutarakan oleh Newmark (1981) dimanfaatkan dalam kajian ini. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kebanyakan makna asal nama perniagaan Cina hilang dalam bahasa sasaran. Kesukaran mendapat padanan bagi makna konotasi yang merangkumi sosiobudaya dan kepercayaan orang Cina dalam bahasa sasaran telah menjadi faktor utama kehilangan makna ini.

‘Usah’: Mod Larangan Pemimpin Negara. Satu Analisis Wacana Kritis

Hasmidar Hassan (USM)

Penggunaan ‘usah’ oleh pemimpin-pemimpin negara dalam kenyataan yang dibuat kebelakangan ini sebenarnya mengimplikasikan maksud atau tafsiran yang berbeza. Yang jelas, ‘usah’ mengutuskan nilai rasa / kognitif yang berbeza daripada ‘jangan’ yang mungkin disamaertikan oleh golongan pemimpin ini. Walaupun secara luarannya ‘usah’ dan ‘jangan’ dikatakan mempunyai makna yang sama atau bersinonim antara satu sama lain, namun realitinya perkataan seerti ini tidak menjamin perkataan berkenaan mendukung makna emotif yang sama. Justeru impak penggunaan ‘usah’ pada pengguna adalah berbeza dan maksud penggunaan ‘usah’ oleh penuturnya juga boleh ditanggapi secara berbeza-beza. Memandangkan kata ‘usah’ ini mempunyai impak dari sudut penggunaan dan kepada pengguna maka ‘usah’ harus diteliti dan dikaji dengan menggunakan pendekatan analisis wacana kritis bagi membolehkan reka bentuk dan fungsi bahasa politik dan interaksi sosial antara pemimpin dengan rakyatnya dicungkil dan difahami dengan lebih jelas. Hal ini penting kerana setiap kenyataan pemimpin yang dilaporkan akhbar merupakan salah satu bentuk komunikasi massa yang paling signifikan dan merupakan satu-satunya komunikasi langsung antara simbol politik dan autoriti dengan rakyat (Lerman, 1985:185).

KEPENTINGAN TEKS TERJEMAHAN DALAM MEMPERLIHATKAN STRATEGI DAN KESILAPAN DALAM TERJEMAHAN

Haslina Haroon (USM)

Teks kesusasteraan yang telah diterjemahkan dipercayai mempunyai nilai yang tinggi dalam proses melatih penterjemah kerana teks-teks terjemahan ini dapat digunakan untuk membincangkan pelbagai isu yang berkaitan dengan amalan penterjemahan. Tujuan kertas kerja ini ialah untuk menunjukkan secara khusus bagaimana teks-teks terjemahan ini dapat digunakan dalam latihan penterjemahan. Secara khususnya, tujuan kertas kerja ini ialah untuk menunjukkan bagaimana teks terjemahan dapat digunakan (a) sebagai satu sumber penting yang dapat memperlihatkan bagaimana beberapa strategi terjemahan digunakan secara efektif, dan (b) untuk memperlihatkan beberapa kesilapan dalam terjemahan dan mengkaji sebab berlakunya kesilapan ini. Penggunaan teks terjemahan untuk memperlihatkan kedua-dua elemen yang disebutkan amat penting kerana ia dapat meningkatkan lagi kemahiran para penterjemah disamping menjadikan mereka lebih arif tentang amalan terjemahan mereka sendiri.

TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT (CSR): SATU TINJAUAN PERANAN BAHASA SEBAGAI JAMBATAN ANTARA KOMUNITI DAN INDUSTRI

Hasuria Che Omar (USM)

Bermula pada tahun 2005, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan era sekarang sebagai Dekad bagi Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD), sehingga tahun 2014. Perisytiharan ini dianggap sebagai satu cabaran kepada semua institusi pendidikan serta agensi berkaitan untuk memikirkan kaedah terbaik bagi merangka semula pendidikan yang lebih bererti kepada generasi kini, dan mempengaruhi pendidikan generasi masa hadapan. Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini cuba melihat sejauhmana tanggungjawab yang boleh dimainkan oleh USM sebagai entiti korporat dalam industri pendidikan dengan kemungkinan meningkatkan kesedaran masyarakat dan pengiktirafan latihan kemahiran bahasa isyarat, serta penterjemahannya.

Satu Pengembangan Pendekatan Konseptual Dalam Analisis Adaptasi Intersemiotik, Interlingual dan Intralingual: Satu Tinjauan Awal

Hasuria Che Omar, Leelany Ayob, Rohani Hashim & Radiah Yusoff (USM)

Berpandukan pendekatan pemindahan bahan secara intralingual-intersemitok-interlingual, kertas kerja ini cuba meninjau bentuk pendekatan yang relevan dalam adaptasi sinematik. Adaptasi sinametik, yang melibatkan perubahan sistem lambang yang tertentu ke dalam konfigurasi yang berbeza, dapat juga dilihat sebagai ’persetujuan interteks pada pelbagai tahap’ (Naremore, 2000). Menggunakan beberapa contoh terpilih, kertas kerja ini juga akan mendekati proses interaktif dan dinamik adaptasi sebagai produk kacukan yang terhasil daripada penyatuan dua atau lebih penulis, budaya dan audiens. Pada masa yang sama penulis juga cuba meninjau trend semasa dalam pemindahan bahan kesusasteraan bertulis dengan sinema dalam konteks penyiaran Malaysia, sebelum satu rangka konseptual yang mantap, yang dapat mewakili konsep adaptasi yang menyeluruh dapat dihasilkan.

E-LAN Sebagai Alat Bantuan Dalam Kajian Bahasa

Ho Koon Wei (UM)

Kajian tentang bahasa-bahasa pertuturan dan penulisan telah lazim dibuat sejak dari dahulu, kerana data bahasa-bahasa tersebut boleh didapati dengan mudah, sama ada pertuturan mau pun tulisan. Bagi bahasa orang Pekak, iaitu bahasa isyarat, kajian seperti ini tidak begitu mudah dilakukan. Namun, bahasa isyarat telah diterima sebagai jenis bahasa ketiga selain daripada bahasa pertuturan dan penulisan. Di beberapa negara di dunia bahasa isyarat telah pun dirakamkan dan dikaji. Komuniti Pekak di Malaysia telah sedar bahawa bahasa isyarat ialah bahasa tulen bagi mereka. Usaha mendaulatkan bahasa isyarat turut menekankan betapa pentingnya kajian bahasa isyarat dilakukan. Kertaskerja ini memperkenalkan satu kaedah menganalisis data bahasa yang telah digunakan di beberapa negara dan sekarang di Malaysia. Perisian yang terlibat dinamakan e-LAN (EUDICO Linguistic Annotator). Perisian tersebut merupakan satu alat bantuan profesional untuk mencipta pelbagai catatan berdasarkan sumber audio dan video. Ia bukan sahaja banyak membantu pakar-pakar bahasa mengkaji bahasa pertuturan tetapi juga boleh digunakan untuk mengkaji bahasa isyarat. Sebelum ini kajian terhadap data bahasa isyarat sukar dilakukan dan memakan masa yang lama. Kertas ini akan membincangkan dengan ringkas beberapa aspek tentang perisian e-LAN, fungsi perisian, latar belakang dan contoh-contoh daripada satu projek kajian bahasa isyarat orang Pekak Malaysia yang sedang dilakukan dan telah dicatatkan melalui kaedah e-LAN.

Hubungan Penggunaan Bahasa Dengan Persekitaran dan Kognisi Kanak-Kanak Lelaki Melayu Pra Operasi: Satu Analisis Berdasarkan Teori Relevans

Jafizah Jaafar, Radiah Yusoff, Hasmidar Hassan & Izwanum Abd Wahid (USM)

Menggunakan kaedah pemerhatian, temu bual dan rakaman perbualan seterusnya ditranskripsikan data perbualan menggunakan pendekatan Liddicoat (2007) , kertas kerja ini akan cuba mengupas tentang hubungan penggunaan bahasa seorang kanak-kanak lelaki Melayu pra operasi dengan persekitaran dan pemikirannya. Hal ini perlu supaya setiap mesej yang disampaikan oleh seorang kanak-kanak dapat diterima seterusnya difahami oleh orang dewasa dengan lebih jelas dan tepat. Umum maklum bahawa menurut Piaget, kanak-kanak pada peringkat pra operasi iaitu yang berusia dua hingga tujuh tahun berkecenderungan untuk menggunakan simbol (imej atau perkataan) dalam menunjukkan keupayaan mereka dalam menggunakan bahasa. (Jas Laile Suzana Jaafar, 2000 :30-31). Kajian ini dijalankan berdasarkan keperluan untuk memberikan gambaran kepada pengguna bahasa Melayu yang lain tentang hubungan penggunaan bahasa dengan persekitaran dan kognisi dalam diri seorang kanak-kanak Melayu lelaki pra operasi berdasarkan analisis Teori Relevans.

Model Circumplex: Ekspresi Emosi Wajah dalam Komunikasi Interpersonal

Jamilah Ikhsan (USM)

Ekspresi emosi wajah ialah satu media komunikasi. Hal ini kerana, wajah manusia telah diakui sebagai sumber maklumat bukan verbal yang ulung dan unik. Maklumat yang terangkum di dalamnya termasuklah perasaan, niat, dan pendirian seseorang (Kleck & Mendolia, 1990; Stanners, Byrd, & Gabriel, 1985). Oleh itu, setiap tingkah laku wajah sebenarnya menyampaikan dan menyimpan pelbagai maklumat. Sehubungan dengan hal tersebut, makalah ini akan membincangkan ekspresi emosi wajah daripada perspektif komunikasi interpersonal. Untuk mencapai tujuan tersebut, perbincangan akan menggunakan Model Circumplex (Russell, 1980). Ciri konsistan model ini menjadikannya lebih sesuai untuk digunakan di dalam perbincangan makalah ini. Hal ini adalah berdasarkan dapatan beberapa kajian daripada beberapa orang sarjana yang telah mengaplikasikannya dalam pelbagai bidang.

Bahasa Bukan Verbal Pesakit Afasia

Radiah Yusoff, Jamilah Ikhsan, Rozaida Abdul Rauf (USM)

Kertas ini akan memperlihatkan beberapa bahasa bukan verbal yang digunakan oleh pesakit Afasia, seperti okulesik, kinesik, pengisi, parabahasa, dan proksemik, semasa mereka berkomunikasi. Kertas ini juga akan cuba memperlihatkan bagaimana pesakit ini mengubahsuai cara mereka menyampaikan mesej agar dapat difahami oleh pendengar normal. Untuk mencapai kedua-dua tujuan ini, data perbualan yang melibatkan pesakit Afasia dan individu lain telah dikutip dan ditranskripsikan secara ortografi menggunakan kaedah Analisis Perbualan.

Terjemahan Bahasa Inggeris – Bahasa Arab dalam Wacana Politik Media Elektronik: Satu Analisis Fungsional dan Perubahan Maklumat

Kais Amir Kadhim & Mashudi Kader (USM)

Kajian ini meneliti fungsi dan perubahan maklumat dalam wacana media elektronik dalam teks berita BBC. Berita BBC yang diperoleh melalui internet akan digunakan. Ia akan menerapkan idea-idea Halliday dalam linguistik sistemik seperti yang terdapat dalam istilah-istilah field, tenor dan mode dalam penerjemahan wacana elektornik daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Arab. Juga ia akan menerapkan idea-idea Katz dan Fodor (1963), Nida (1975) dan Jackson (1988). Akhirnya ia akan menerapkan idea Newmark (1988) tentang perubahan maklumat dalam penerjemahan seperti terjemahan melampau, terjemahan kurang dan istilah-istilah seperti terjemahan taksa dan salah terjemah. Dengan menggunakan idea-idea tersebut secara komposit dan eklektik sebagai alat menganalisis kajian ini meneliti dan melaporkan cara para penerjemah berita BBC menggunakan peranan sosial mereka untuk menyampaikan berita. Dalam keprihalan tersebut, kelihatan para penerjemah berperanan sebagai penyampai dominan dengan erti kata mereka menentukan dan meramal sambutan khalayak yang mereka imaginasikan. Sebagai penerjemah yang eksklusif mereka mempunyai kuasa sepenuhnya merencanakan halatuju output terjemehan mereka. Selaras dengan yang di atas, kerta kerja ini akan memperlihatkan perubahan-perubahan dalam maklumat yang mungkin telah berlaku sewaktu melalui proses penerjemahan.

Kesantunan dalam Penterjemahan Audio Visual
Leelany Ayob (USM)

Teks audio-visual agak menarik kerana ia bukan sahaja meliputi aspek verbal, malah aspek bukan-verbal juga banyak memainkan peranan penting dalam penyampaian mesej sama ada kepada penonton teks sumber, mahupun penerima teks terjemahan. Apa yang lebih menarik apabila pemahaman budaya yang berbeza boleh menjadi penghalang dalam penyampaian mesej. Kertas kerja ini akan berfokus kepada isu kesantunan yang ada kalanya membawa pengertian yang berbeza apabila diterjemahkan ke dalam bahasa dan budaya yang berbeza.

Semantik & Semiotik dalam Terjemahan: Satu Kajian tentang Bahasa Orang Pekak di Malaysia

Lucy Lim Yoke Kwan ( UKM)

Bahasa memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia terutama untuk berkomunikasi antara satu dengan yang lain. Sekiranya kita tidak dapat menguasai apa-apa bahasa, kita mungkin ketinggalan dalam pelbagai aspek seperti pendidikan, peluang pekerjaan dan yang pentingnya perhubungan sesama manusia. Komunikasi melalui pertuturan biasanya merupakan satu jurang yang besar bagi golongan seperti Orang Kurang Upaya (OKU) – khususnya golongan Pekak berbanding dengan yang bukan pekak. Kertas ini membentangkan secara ringkas perbezaan komunikasi antara dua golongan ini. Perbandingan dilakukan dengan menggunakan teks dalam bahasa Melayu yang di terjemahkan ke dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) oleh dua orang penterjemah: seorang Pekak dan seorang lagi bukan Pekak. Analisis makna kedua-dua teks tersebut dibuat dari perspektif semantik kognitif dengan fokus terhadap pengkategorian di peringkat tahap asas (super ordinate), dan makna teras (basic level) atau makna pinggiran (sub ordinate). Beberapa dapatan menarik ditemui dari analisis ini antaranya ialah, sama seperti bahasa pertuturan, bahasa isyarat mempunyai tanda tatabahasa yang tersendiri. Namun, dari segi penterjemahan konsep atau kata yang abstrak, penterjemah harus mengembangkan makna perkataan untuk disesuaikan dengan cara orang pekak memahami bahasa iaitu melalui deria visual.

Peranan Budaya dalam Keberkesanan Interaksi dan Mesej: Satu Kajian Kes terhadap Sekumpulan Pelajar India Terpilih

Muniamal @ Puspa a/Perumal (Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah) & Azimah Sazalie (USM)

‘Meminta maaf’ adalah satu perlakuan sosial verbal di mana tujuannya adalah untuk mengukuhkan keberkesanan interaksi di antara penutur dan apa yang di ambil kira sebagai perlakuan yang memerlukan penutur untuk meminta maaf adalah bergantung kepada perlakuan yang dikira sebagai satu kesalahan di dalam sesuatu budaya masyarakat. Kebanyakan masa kita dapati bahawa adalah sukar untuk berinteraksi dengan mereka yang mempunyai budaya yang sama dengan kita, inikan pula berinteraksi dengan mereka yang berlainan budaya dimana faktor kemungkinan wujudnya salah faham adalah tinggi. Mengikut Tubbs and Moss (2003)kepercayaan serta pelakuan yang berbeza diantara penutur merupakan asas bagi andaian respon yang berbeza. Oleh itu masyarakat yang terdiri dari pelbagai budaya seperti Malaysia boleh membuat andaian yang berbeza tentang makna sesuatu pelakuan dalam interaksi. Apabila ini berlaku, tanpa disedari kita mungkin akan melakukan sesuatu perlakuan yang dianggap sebagai satu kesalahan oleh orang lain yang mungkin akan menjejas keberkesanan interaksi. Oleh itu kajian ini berfokus untuk mengkaji tutur kata ‘meminta maaf’ di dalam konteks masyarakat India sebagai satu strategi dalam keberkesanan interaksi dan penyampaian mesej.

Penggunaan Bahasa dalam Blog : Suatu Tinjauan Awal

Nor Hafidah Ibrahim & Yusniza Yaakub (USM & UUM)

Perkembangan teknologi komunikasi (ICT) telah membawa suatu perubahan terhadap cara kita berkomunikasi. Seiring dengan kehendak semasa, masyarakat kini dapat berhubung secara terus dan pantas melalui kaedah-kaedah seperti telefon, email, faks dan blog. Web blog merupakan salah satu daripada saluran paling popular untuk memberikan ulasan atau berita mengenai sesuatu isu, umpamanya fesyen, politik atau berita tempatan, dengan sesetengah blog berperanan lebih sebagai buku harian peribadi dalam talian. Pemerhatian secara umum mendapati, golongan remaja adalah golongan yang paling ramai dan gemar menggunakan ruangan blog. Mereka amat berminat dalam mengendalikan blog seperti hiburan, fesyen dan lain-lain. Perkara tersebut telah menyebabkan mereka ghairah untuk berkomunikasi sesama rakan yang serata tempat dan berkongsi maklumat mengenai isu-isu yang diminati. Banyak perkara yang disampaikan melalui blog ini telah menarik minat orang yang membacanya untuk menyertai perbincangan yang diutarakan dan terdapat pelbagai teknik penggunaan bahasa untuk mengutarakan isu yang dibincangkan. Hal ini telah menyebabkan berlakunya kepelbagaian variasi bahasa dalam laman-laman blog tersebut. Oleh itu, kertas kerja ini akan membincangkan aspek percampuran bahasa, kependekan kata, ejaan mengikut sebutan dan penggunaan bahasa slanga dalam laman blog yang terpilih.

KEBERKESANAN INTERAKSI MELALUI KOMUNIKASI BUKAN VERBAL: SATU TINJAUAN AWAL

Norazilah Buhari, Nor Azlili Hassan, Nadhirah Nordin (UTAR)

Komunikasi yang berkesan berlaku apabila mesej yang disampaikan dapat difahami oleh penerimanya, sama ada disampaikan secara verbal ataupun bukan verbal. Komunikasi verbal terhasil dalam bentuk lisan atau bertulis. Manakala komunikasi bukan verbal, seperti yang diusulkan oleh Chaney dan Martin (2000), melibatkan aspek seperti ekspresi muka, parabahasa, haptik ataupun kinesik. Proses komunikasi turut berlaku dalam bidang pendidikan. Selain menggunakan kemahiran pedagogi yang sedia ada, tenaga pengajarnya turut menggunakan pelbagai komunikasi bukan verbal dalam proses pengajarannya. Terdapat perbezaan pola komunikasi bukan verbal dalam kalangan tenaga pengajar lelaki dan wanita. Kepelbagaian ini boleh memberi kesan dalam proses pembelajaran pelajar. Justeru, kertas kerja ini akan menggunakan kaedah pemerhatian dan temu bual ke atas tenaga pengajar dan pelajar di Universiti Tunku Abdul Rahman untuk memperlihat (i) kepelbagaian komunikasi bukan verbal yang digunakan oleh tenaga pengajar dan (ii) sejauh mana kepelbagaian ini mempengaruhi pemahaman pelajar.

Keberkesanan Interaksi Tersirat : Ironi dan Malu

Noor Shakirah Mat Akhir & Wan Rose Eliza Abd. Rahman (USM)

Ironi merupakan satu wahana bahasa yang mempunyai dua makna, iaitu makna literal dan bukan literal. Umumnya, ironi bermaksud; menyebut atau mengucapkan sesuatu yang berlainan daripada realiti atau kenyataan sebenar. Penggunaan ironi amat berleluasa digunakan dalam berbahasa terutamanya dalam komunikasi, dan ia tidak terkecuali digunakan oleh masyarakat Melayu. Dalam masyarakat Melayu, ironi banyak berbentuk sindiran. Fenomena ini diterima oleh masyarakat Melayu kerana kebiasaan budayanya yang bersikap sedemikian, juga ia adalah implikasi reaksi masyarakat Melayu yang sering malu untuk berterus terang, demi menjaga batas bahasa, hubungan dan agama. Sehubungan itu, kertas kerja ini akan memfokuskan kepada ironi verbal yang sering berlaku dalam masyarakat Melayu dan kaitannya dengan malu serta aspek malu dalam Islam dan keberkesanannya dalam menyampaikan apa yang tersirat.

KOMUNIKASI VERBAL DAN BUKAN VERBAL DALAM PENDIDIKAN ANAK-ANAK: SATU ANALISIS BERDASARKAN AYAT-AYAT AL-QURAN TERPILIH

Ratna Roshida Ab Razak (USM)

Komunikasi yang berkesan merupakan ciri utama sebuah keluarga yang bahagia. Komunikasi yang merupakan perhubungan antara dua pihak iaitu pihak yang menyampai dan pihak yang menerima merupakan satu aktiviti utama dalam sebuah keluarga. Melalui saluran komunikasilah aspek pendidikan anak-anak, yang merupakan satu tugas dan tanggungjawab yang perlu disempurnakan oleh setiap yang bergelar ibu dan bapa mampu dilaksanakan. Untuk memastikan tugas tersebut dilaksanakan dengan sempurna pastinya memerlukan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sewajarnya. Untuk tujuan tersebut sudah tentulah peneraju institusi ini perlu mengetahui bagaimanakah cara berkomunikasi yang harus dimiliki agar dengannya keluarga yang dibinanya terus sejahtera meskipun perlu menghadapi pelbagai cabaran. Kegagalan ibu bapa untuk mengaplikasikan cara komunikasi yang betul boleh menganggu proses pendidikan dan pembesaran anak-anak dan akhirnya menyumbang kepada kesan yang negatif dalam hidup mereka. Justeru kertas kerja ini cuba mengupas bagaimanakan cara komunikasi verbal dan bukan verbal yang ada dalam Islam khususnya dalam mendidik anak-anak sebagaimana yang terkandung dalam Surah al-Luqman ayat 15 hingga ayat 19.

Ciri Kelemahan Bahasa, Tipografi dan Reka Bentuk pada

Kulit Buku Ilmiah di Malaysia

Roosfa Hashim (UKM)

Salah satu aspek penting yang mendorong tanggapan segera pembaca dan bakal pembeli buku ilmiah ialah penampilan pada kulit buku. Penampilan judul pada kulit buku melibatkan subjek buku, susunan tipografi dan penggunaan huruf serta ilustrasi yang digunakan. Semua ini memberi isyarat segera kepada otak untuk ditafsirkan oleh pembaca dan pembeli. Makalah ini mengkaji dan menghuraikan pelbagai ciri kelemahan tersebut yang dikesan pada 50 judul buku ilmiah dalam bahasa Melayu yang baru beberapa tahun diterbitkan di negara ini. Mutu bahasa termasuk kesalahan bahasa, kegagalan menampilkan subjek utama, unsur-unsur dan prinsip asas dalam reka bentuk diuji pada kulit 50 buku yang menjadi sampel kajian. Dapatan kajian ini membentangkan pelbagai ciri kelemahan yang dapat dikesan pada kulit buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta penerbit buku ilmiah daripada pelbagai universiti dan institusi penyelidikan di negara ini. Kajian ini menyimpulkan bahawa berlaku pelbagai kesilapan dalam mereka bentuk kulit buku ilmiah yang boleh pula membawa pelbagai implikasi.

Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu: Peranannya Dalam mentranskripsikan Perbualan dan Teks Bahasa Melayu

Tajul Aripin Kassin

Transkripsi fonetik digunakan bagi mentranskripsikan rakaman perbualan atau teks wacana dalam sesuatu bahasa atau dialek. Oleh itu, dalam melakukan transkripsi fonetik bahasa Melayu, seseorang itu perlulah mengetahui proses-proses fonologi phonological processes dan kata fonologi phonological word bahasa Melayu terlebih dahulu. Namun begitu, transkripsi fonetik yang dilakukan oleh pengkaji-pengkaji atau pelajar-pelajar kita pada hari ini hanyalah berdasarkan instuisi mereka semata-mata. Transkripsi fonetik secara instuisi ini akan menghasilkan bentuk transkripsi yang tidak standard atau cara yang berbeza-beza antara satu sama lain. Menurut Tajul Aripin (2000), dalam bahasa Melayu, proses penggeluncuran dan geminasi adalah tergolong dalam domain kata fonologi. Manakala, proses-proses fonologi yang lain seperti penyisipan hentian glotis, pengglotisan /k/, perendahan vokal tinggi /i/ dan /u/, asimilasi nasal hormoganik, penasalan vokal progresif, penengahan vokal /a/, pengguguran /r/ dan lain lainnya tidak tergolong dalam domain kata fonologi. Oleh itu, standardisasi transkripsi fonetik hanya dapat dilakukan apabila seseorang itu mengenal pasti proses-proses fonologi dan kata fonologi bahasa Melayu.

Konteks dalam bahasa Mandarin

Tang Tyy Ling & Radiah Yusoff (USM)

Menurut Hua Lin (2001:125), konteks (pragmatik dan wacana) memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan makna semasa berkomunikasi dalam bahasa Mandarin. Menurut Teun A. Van Dijk (1977), konteks, struktur ujaran, pengetahuan pengujar tentang situasi sebenar, pengetahuan am tentang dunia dan ciri-ciri paralinguistik (intonasi, penekanan, ekspresi muka, gerak badan, dsb.) adalah penting dalam memahami sesuatu ujaran.

Dengan mengkaji tiga ungkapan bahasa Mandarin, didapati bahawa ketiga-tiga ayat yang diujarkan membawa maksud yang sama. Ujaran-ujaran tersebut dituturkan dalam konteks yang berbeza. Konteks-konteks yang berlainan diwujudkan untuk melahirkan mesej yang berlainan. Sebagai contohnya, dalam konteks yang marah, tidak sabar, tertanya-tanya, dsb. Pendengar hanya akan memahami sesuatu ujaran itu apabila berada dalam konteks itu sahaja.

Untuk memahami bahasa Mandarin, pemahaman makna, pragmatik dan wacana adalah penting (M. L. Hu, 1992; Mou, 1994; R. Xie 1994; C. K. Yang 1995; dan L. Zhang, 1997 daripada Hua Lin, 2001). Dengan pemahaman pragmatik, bahasa Mandarin dapat difahami dengan lebih mudah.

Penanda Wacana: Keberkesanan Komunikasi dalam Surat-surat Za’ba

Yusniza Yaakub & Nor Hafidah Ibrahim (USM & UUM)

Dalam kebanyakan tulisan beliau, Pendeta Za’ba sering memberikan penekanan terhadap aspek kelangsungan stail sewaktu menulis, iaitu kesinambungan ayat. Aspek kesinambungan atau penyambung ayat ini dinamakan sebagai perkataan-perkataan pembatas karangan, ibu perkataan, perdu perkataan dan juga perkataan-perkataan perenggan. Menurut beliau, setiap perkataan pembatas karangan ini mempunyai peranan dan tataletaknya yang tersendiri, khususnya yang digunakan dalam surat-surat Melayu mengikut tujuan dan makna dan sesetengahnya mengikut kelaziman. Menurut beliau, kata pembatas karangan ini penting bagi menunjukkan adanya pertalian atau pertautan antara satu ayat dengan ayat yang lain dan antara satu perenggan dengan perenggan yang lain. Kesemua kata pembatas ayat ini mempunyai fungsi dan peranan yang tertentu dalam menjadikan karangan atau penulisan yang baik dan tertib. Kini, pembatas karangan yang diperkenalkan oleh Za’ba ini dikenali sebagai penanda wacana oleh pengkaji-pengkaji bahasa, iaitu kata penghubung yang digunakan untuk menghubungkan dua ayat lalu membentuk satu ayat dan antara perenggan. Penanda wacana mempunyai pelbagai makna dan berfungsi untuk menghubungkan ayat-ayat secara logik dalam sesebuah wacana. Dalam hal ini, cara penggunaan penanda wacana seseorang penulis merupakan cerminan stail penulisan individu tersebut untuk berkomunikasi dengan pembacanya. Oleh itu, kertas kerja ini dihasilkan untuk meneliti penggunaan aspek penanda wacana dalam surat-surat Za’ba sebagai gambaran strategi komunikasi yang melambangkan kesopanan berbahasa dengan orang yang dilawan tutur, iaitu pembaca. Dengan menggunakan model strategi komunikasi yang diperkenalkan oleh Asmah Haji Omar (1996), penulis akan menghuraikan jenis penanda wacana yang sering digunakan oleh Za’ba dalam surat-surat beliau, seterusnya akan mengaitkan dengan aspek strategi komunikasi yang melambangkan kesopanan bahasa seperti yang digagaskan oleh Asmah (1996).

Isu Imbuhan /di-i/ dan /di-kan/ Bahasa Melayu: Imbuhan Apitan atau Gabungan?

Zaharani Ahmad (UKM)

Selain daripada digolongkan sebagai satu awalan dan akhiran yang utuh, morfem terikat /di-/, /-i/, dan /-kan/ juga dikelaskan sebagai apitan kata kerja /di-i/ dan /di-kan/ (Nik Safiah et.al. 1989, Asraf 1990, Hashim 1993). Imbuhan ini digolongkan sebagai apitan kerana proses morfologinya berlaku secara serentak. Penerbitan kata yang hanya melibatkan morfem /di-/ tanpa disertai dengan morfem /-i/ akan menghasilkan bentuk yang tidak gramatis. Hujah ini disokong dengan bukti leksikal yang menunjukkan kata terbitan seperti diakui dan dimulai wujud dalam leksikon Melayu, tetapi kata terbitan *diaku dan *dimula dianggap janggal dan tidak gramatis. Berbeza daripada pandangan lepas, kertas ini mencadangkan morfem terikat /di-i/ dan /di-kan/ digolongkan sebagai imbuhan gabungan, iaitu imbuhan yang terdiri daripada penggabungan antara akhiran /-i/ dan /-kan/ dengan awalan /di-/. Dari segi morfologinya, penulis mengandaikan bahawa proses pengimbuhan ini berlaku secara berperingkat-peringkat, iaitu dimulai dengan pengimbuhan akhiran dan diikuti dengan pengimbuhan awalan. Andaian ini disokong dengan bukti leksikal yang diperolehi daripada korpus UKM-DBP, dan juga bukti fonologi yang memperlihatkan perilaku rumus yang beroperasi di lingkungan morfem /di-/ dan juga /-i/. Interaksi antara rumus fonologi dan morfologi yang berlaku dalam proses pengimbuhan ini akan dianalisis dengan menggunakan kerangka teori fonologi dan morfologi leksikal.

Atur Cara

8 - 8.30 pagi

Pendaftaran peserta

8.30 - 9.20 pagi

Kertas Kerja Utama 1

Mashudi Kader (Isu dalam Bahasa

Melayu dan Polariti dalam Penggunaannya)

Dewan Mesyuarat, PPIK

Pengerusi: Hasuria Che Omar

9.20 pagi

Ketibaan Tetamu Kehormat

9.30 pagi

Majlis Perasmian Pembukaan

Ucapan aluan dan perasmian oleh Dekan, PPIK

10 - 10.30 pagi

Minum Pagi

10.30 - 11.20 pagi

Kertas Kerja Utama 2

Noriah Mohamed (Perlambangan Bunyi dan Keratabasa dalam Komunikasi Verbal Bahasa Melayu)

Dewan Mesyuarat, PPIK

Pengerusi: Aniswal Abd. Ghani

Dewan Mesyuarat, PPIK

11.30 pagi - 1 tgh

Sesi Selari 1A Pembentangan Kertas Kerja

Tempat: Bilik Mesyuarat 2, PPIK

Pengerusi: Radiah Yusoff

Kertas Kerja 1 - Zaharani Ahmad (Isu Imbuhan /di-i/ dan /di-kan/ Bahasa Melayu: Imbuhan Apitan atau Gabungan?)

Kertas Kerja 2 - Tajul Aripin Kassin (Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu: Peranannya dalam Mentranskripsikan Perbualan dan Teks Bahasa Melayu)

Kertas Kerja 3 - Roosfa Hashim (Ciri Kelemahan Bahasa, Tipografi dan Reka Bentuk pada Kulit Buku Ilmiah di Malaysia)

Kertas Kerja 4 - Maniamal @ Puspa A/P Perumal & Azimah Sazalie (Peranan Budaya dalam Keberkesanan Interaksi dan Mesej: Satu Kes Kajian Terhadap Sekumpulan Pelajar India Terpilih)


Sesi Selari 1B Pembentangan Kertas Kerja

Tempat: Bilik Mesyuarat 2, PPIK

Pengerusi: Goh Sang Seong

Kertas Kerja 5 - Aniswal Abd. Ghani (Visual: Bahasa Verbal dan Bukan Verbal

Kertas Kerja 6 - Haslina Haroon (Kepentingan Teks Terjemahan dalam Memperlihatkan Strategi dan Kesilapan dalam Terjemahan)

Kertas Kerja 7- Ezaleena Mohd Khalid (Tipologi Teks Sebagai Satu Kriteria Penilaian Terjemahan)

Kertas Kerja 8 - Kais Amir Khadim & Mashudi Kader (Terjemahan Bahasa Inggeris – Bahasa Arab dalam Wacana Politik Media Elektronik: Satu Analisis Fungsional dan Perubahan Maklumat)


Sesi Selari 1C Pembentangan Kertas Kerja

Tempat: Bilik Mesyuarat C24, PPIK

Pengerusi: Jamilah Ikhsan

Kertas Kerja 9 - Eileen Sim Siew Wah & Hasmidar Hassan (Metafora dalam Novel Konserto Terakhir: Satu Analisis Pragmatik)

Kertas Kerja 10 - Jafizah Jaafar, Radiah Yusoff, Hasmidar Hassan & Izwanum Abd Wahid (Hubungan Penggunaan Bahasa dengan Persekitaran dan Kognisi Kanak-Kanak Lelaki Melayu Praoperasi: Satu Analisis Berdasarkan Teori Relevans)

Kertas Kerja 11 - Tang Tyy Ling & Radiah Yusoff (Kebergantungan kepada Konteks dalam Bahasa Mandarin)

Kertas Kerja 12 - Hasuria Che Omar (Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR): Satu Tinjauan Peranan Bahasa Sebagai Jambatan Antara Komuniti dan Industri)

1 tgh - 2 ptg

Makan tengah hari

2 - 2.50 ptg

Kertas Kerja Utama 3

Nor Hashimah Jalaluddin (Cetusan

Minda Melayu yang Tersurat dan Tersirat)

Dewan Mesyuarat, PPIK

Pengerusi: Mashudi Kader

3 - 5 ptg

Sesi Selari 2A Pembentangan Kertas Kerja

Tempat: Dewan Mesyuarat, PPIK

Pengerusi: Noriah Mohamed

Kertas Kerja 13 - Yusniza Yaakub dan Nor Hafidah Hashim (Penanda Wacana: Keberkesanan Komunikasi dalam Surat-Surat Za’ba)

Kertas Kerja 14 - Hasmidar Hassan (‘Usah’: Mod Larangan Pemimpin Negara. Satu Analisis Wacana Kritis.)

Kertas Kerja 15 - Budiman Radzi & Radiah Yusoff (Aspek Makna Kohesi Leksikal dalam Sebuah Artikel Motivasi)

Kertas Kerja 16 - Jamilah Ikhsan (Model Circumplex: Ekspresi Emosi Wajah dalam Komunikasi Interpersonal)

Kertas Kerja 17 - Nor Azilah Bukhari, Nor Azlili Hassan & Nadhirah Nordin (Keberkesanan Komunikasi Melalui Komunikasi Bukan Verbal: Satu Tinjauan Awal)


Sesi Selari 2B Pembentangan Kertas Kerja

Tempat: Bilik Mesyuarat 2, PPIK

Pengerusi: Tajul Aripin Kassin

Kertas Kerja 18 - Nor Hafidah Ibrahim & Yusniza Yaakub (Penggunaan Bahasa dalam Blog: Suatu Tinjauan Awal)

Kertas Kerja 19 - Hoo Koon Wei (E-LAN Sebagai Alat Bantuan dalam Kajian Bahasa)

Kertas Kerja 20 - Bukhari Shafie & Radiah Yusoff (Iklan dalam Talian (IDT) Bahasa Melayu Nokia)

Kertas Kerja 21 - Ratna Roshida Abdul Razak (Komunikasi Verbal dan Bukan Verbal dalam Pendidikan Anak-Anak: Satu Analisis Berdasarkan Ayat Al-Quran Terpilih)

Kertas Kerja 22 - Radiah Yusoff, Jamilah Ikhsan & Rozaida A. Rauf (Bahasa Bukan Verbal Pesakit Afasia)


Sesi Selari 2C Pembentangan Kertas Kerja

Tempat: Bilik Mesyuarat C24, PPIK

Pengerusi: Haslina Haroon

Kertas Kerja 23 - Lim Yoke Kwan (Semantik dan Semiotik dalam Terjemahan: Satu Kajian Tentang Bahasa Orang Pekak di Malaysia)

Kertas Kerja 24 - Goh Sang Seong (Kehilangan Makna dalam Terjemahan Nama Perniagaan Cina)

Kertas Kerja 25 - Hasuria Che Omar, Leelany Ayub & Rohani Hashim (Satu Pengembangan Pendekatan Konseptual dalam Analisis Adaptasi Intersemiotik, Interlingual dan Intralingual: Satu Tinjauan Awal)

Kertas Kerja 26 - Leelany Ayub (Kesantunan dalam Terjemahan Audio Visual)

5.00 ptg

Majlis Perasmian Penutupan

1 comment:

Belly Surya Candra Orsa said...

Great Blog....keep Blogging...!!